Friday, March 11, 2011

surat untuk kamu yg aku tidak ketahui siapa.....


Kehadapan bakal suamiku yang aku sendiri tidak tahu siapa kamu;
Kumulakan bicara ini kepada kamu dengan menyebut nama Allah yang Agung. Maha Suci Allah yang menjadikan aku dan kamu, lelaki dan perempuan. Sebenarnya aku agak canggung untuk menulis tinta ini buat kamu. Ya, siapa pun kamu yang telah ditakdirkan Allah untukku, aku bersyukur seadanya, mengurniakan kamu padaku pada suatu masa yang telah Allah tetapkan.

Aku sedang menjaga hati ini hanya untuk kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa. Aku sedang menjaga diri ini untuk yang sah memiliki. Aku juga berharap yang sama dari kamu. Maka, aku tidak akan seenak-enaknya memberi senyuman manis kepada lelaki-lelaki lain. Aku juga tidak mungkin menyerahkan cinta dalam hati ini yang masih tersimpan rapi untuk kamu yang aku tidak ketahui siapa.

Pertamanya, aku mohon maaf secara terbuka, andai episod semalam pernah menyaksikan kecundangnya aku dalam bab cinta. Baru aku sedar, aku tidak pernah memberikan cinta kepada mereka, aku menipu diri sendiri. Yang pastinya, aku tidak pernah jujur. Aku bilang aku cinta tapi sebenarnya tidak; mungkin kerana keseronokan semata. Aku mohon maaf untuk itu andai kesucian hati sebelum ini pernah dirobek.



Kamu yang tidak ku ketahui siapa;
Aku cuma menginginkan kamu sedang dalam persediaan. Aku tidak kisah siapa pun kamu, yang penting kamu belajar. Menambahkan ilmu pengetahuan di dada, agar suatu hari nanti kamu boleh mengajar anak-anak kita dengan ilmu kamu. Aku tidak suka lelaki yang membuang masanya, berhabis masa bermain game PS2, atau chit chat kosong semata, atau hobinya melepak di warung-warung kecil di tepian jalanan. Kerana aku mementingkan ilmu sebagaimana aku sedang berusaha untuk meraih ilmu kini.


Aku juga mahu kamu yang tidak ku ketahui siapa kuat untuk berjaga malam demi merebut kasih Allah. Aku ingin, setelah pernikahan kita nanti, malam-malam kita diisi dengan tahajud cinta kepada-Nya bersama. Aku sangat menginginkan detik ini kerana aku sangat sukar melakukannya sendirian. Dan aku sangat mahu engkau yang menjadi imam pada setiap solat-solatku. Tolong tunaikannya...

Aku pasti sangat bersedih andai aku bisa dibuka hijab untuk melihat perlakuanmu kini, pemakaianmu, dan akhlakmu. Entahlah, dari dulu sehingga sekarang, aku sukar menerima lelaki yang memakai seluar pendek sehingga menampakkan aurat mereka. Aku sedang menjaga auratku juga dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya, yang bukan halal bagiku. Aku sangat dukacita andai kamu yang aku tidak tahu siapa mudah patah hati dalam perjuangan menegakkan syiar di jalan Allah. Aku tidak mahu kamu mudah berputus asa, kerana aku akan sentiasa mendoakan kamu yang aku sendiri tidak tahu siapa sentiasa bersemangat menjulang panji-panji agama. Semoga kamu bisa menjadi seperti Asadullah.

Maafkan aku, jika sebelum kita bertemu ini, akhlakku masih pincang, kata hati sering diikuti. Kerana itu Allah belum menemukan kita, kerana kita masih dalam perjuangan; perjuangan memburu cinta Illahi. Agar kasih kita suatu hari nanti bersandarkan kasih-Nya.

Bakal zaujuku,


Aku sangat takut untuk mengharungi dunia ini seorang diri. Aku takut melihat jatuhnya akhlak remaja kini, aku takut andai aku terjerumus dalam semua itu. Aku juga khuatir melihat dunia kini semakin usang untuk didiami kerana tandusnya akhlak muda-mudi. Dunia kita kini jauh beza, dunia kita tidak sama dengan dunia Islam dahulu. Tiada lagi pemuda seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang menakluk Kota Konstantinopel pada usianya 22/23 tahun. Kiranya, aku pernah minta kepada Allah, agar Dia mengirimkan engkau secepatnya kepadaku agar aku dapat berlindung kepadamu tapi aku tahu kamu masih dalam proses membina diri, maka aku tidak mahu mengganggu fokusmu.
Yang paling penting, semoga engkau dapat menghormati kedua orang tuaku dan anggap mereka sebagai orang tuamu juga. Kasihilah mereka dan aku minta agar aku dapat berbakti untuk mereka walaupun tanggungjawabku akan beralih padamu suatu ketika.

Aku tidak tahu; sama ada bakal zaujku yakni kamu ini apakah aku kenal atau pun tidak. Siapa pun kamu aku terima seadanya, cuma aku mohon semoga kamu punya iman dan agama untuk membimbingku suatu hari nanti apabila tiba masanya saat kita dipertemukan Allah. Maafkan segala keterlanjuranku sepanjang hayatku sebelum kita dipertemukan; iaitu saat ini. 


Akhir kata, semoga Allah melindungi kamu dan aku walau di mana pun kita berada. Semoga Allah lah yang akan menjadi urusan utama kita pada setiap ketika, semoga syiarnya kita bisa perjuangkan walau di mana jua kita berada. Aku berharap agar imanmu sentiasa sihat. Insyaallah, aku akan cuba sedaya upaya untuk menjaga diriku sebaik mungkin. Hidupku cuma ada Allah, dan itu keyakinanku. Semoga kita dipertemukan oleh Allah pada masa yang telah Dia tetapkan untuk kita. =) 
p/s: to my mr.right d mane saje awk brade skunk ni, i'll be waiting for u...hahahaha ayt x blh blah...
~kredit to blog dr.cinta ~

1 comment:

  1. "Kiranya, aku pernah minta kepada Allah, agar Dia mengirimkan engkau secepatnya kepadaku agar aku dapat berlindung kepadamu.." setiap hari aku bermohon... ^_^

    ReplyDelete